Saturday, February 5, 2011

RASUAH DI MALAYSIA

Definisi Rasuah
Rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan undang-undang dimana seseorang mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan (favours) dari pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wanghadiah, keraian kepada pihak-pihak tersebut. Menurut Badan Pencegah Rasuah Malaysia terdapat empat kesalahan rasuah yang utama:
  • Meminta/Menerima Rasuah
  • Menawar/Memberi Rasuah
  • Membuat Tuntutan Palsu
  • Menyalahguna Jawatan/Kedudukan
Pemberian rasuah jika tidak dibendung akan mengakibatkan banyak masalah sosial kerana undang-undang tidak akan dipatuhi dengan sepenuhnya. Maka kegiatan jenayah dan ketidakadilan akan berleluasa



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 

RANG Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 yang dibentangkan di Parlimen melegakan semua pihak kerana kini negara berada di landasan tepat untuk mencapai tahap integriti yang selari dengan pembangunan negara menjelang 2020.
Selepas dibahaskan selama dua hari membabitkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, akhirnya ia diluluskan menerusi suara majoriti anggota Dewan yang bersidang dalam suasana agak tegang. Ternyata hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang mahu melihat perubahan dalam sistem penyampaian kerajaan ketika mula memegang jawatan pada 2004, mula menampakkan hasil.
Ia bermula dengan penubuhan Institut Integriti Malaysia yang bertujuan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap keupayaan pentadbiran dan tadbir urus negara, diikuti SPRM, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan Program Perlindungan Saksi.
Semua ini adalah ilham Abdullah ketika mengambil alih jawatan untuk memperlihatkan keterbukaan dalam pentadbiran kerajaan, malah ia menjadi sebahagian manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum 2004. Seperti dijangkakan, perubahan berlaku secara berperingkat-peringkat dalam usaha kerajaan merealisasikan Wawasan 2020, untuk menjadikan negara dalam kelompok negara maju. SPRM yang bakal menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mulai Januari depan, mempunyai struktur pentadbiran dan bidang pelaksanaan yang menyeluruh serta mampu memberi impak besar dalam usaha membasmi rasuah dan penyelewengan.
Sebagai rakyat, kita cukup gembira dengan pembentukan suruhanjaya ini, selepas melihat gejala rasuah dan penyelewengan yang merebak dalam masyarakat sehingga menjejaskan imej kerajaan dan membantutkan pembangunan negara. Kita yakin SPRM yang mengambil pendekatan dilaksanakan Pentadbiran Hong Kong dalam mencegah rasuah selama 30 tahun, akan beroleh kejayaan berikutan gejala rasuah di negara ini masih pada tahap terkawal. Dengan lebih 5,000 kakitangan SPRM yang diberikan latihan dalam aspek pembanterasan dan pencegahan rasuah, hasrat kerajaan untuk menghapuskan gejala itu sudah pasti mampu dicapai, terutama dengan sokongan seluruh rakyat.
Malah, cadangan untuk mewujudkan satu mahkamah khas bagi mendengar dan membicarakan kes rasuah yang berlaku di negara ini menunjukkan komitmen tinggi kerajaan membanteras rasuah dan penyelewengan sehingga ke akar umbi. Begitu juga Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang turut dibahaskan di Parlimen bakal memantapkan lagi institusi berkenaan selepas terjejas teruk berikutan krisis kehakiman yang melanda sebelum ini. Kita berharap semua pihak terus memberi sokongan padu kepada usaha kerajaan bagi memantapkan lagi pentadbiran supaya tadbir urus yang dijalankan telus dan memanfaatkan rakyat. 
Pentadbiran telus dan berwibawa amat penting bagi membawa negara ini melepasi halangan dan krisis ekonomi yang tidak nampak penghujungnya. Jadi menerusi rang undang-undang bersejarah ini, semua pihak perlu melihat ke depan untuk bersama berganding bahu dengan kerajaan dalam mencapai Misi Nasional negara.

No comments:

Post a Comment